Velizar Popov jurulatih baru skuad Kelantan

Velizar Popov jurulatih baru skuad Kelantan

Kelantan menyasarkan untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan kedudukan empat teratas dalam Liga Super.

popo

KUALA LUMPUR:
Bekas Jurulatih Kebangsaan Maldives, Velizar Emilov Popov dipilih sebagai jurulatih baru The Red Warriors (TRW) bagi menggantikan K Devan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, Velizar dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam bola sepak Asia dan negara lain.

“Pelantikan ini dibuat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Devan kerana kita tidak mahu pasukan Kelantan ditinggalkan terlalu lama.

“Bagi saya pengalaman Velizar mengendalikan pasukan di luar negara dan ASEAN cukup lama. Antara pengalaman yang dimiliki Velizar seperti mengendalikan pasukan kelab di Thailand.

“Saya fikir dengan pengalamannya itu dapat membaiki (prestasi) pasukan Kelantan yang agak merosot masa ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MARA petang tadi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pelantikan jurulatih baru itu diharap dapat membantu skuad TRW berada di kedudukan empat terbaik Liga Super.

Beliau juga menyasarkan TRW dapat melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam Piala Malaysia nanti.

“Kita beri kepercayaan sepenuhnya kepada Velizar untuk mengendalikan TRW. Terpulang kepada beliau untuk mencorak TRW ke arah yang lebih baik,” katanya sambil menambah Velizar ditawarkan kontrak setahun.

Sementara itu, Velizar berikrar akan menggunakan pengalamannya untuk meningkatkan prestasi skuad Kelantan.

“Saya dan pemain saya akan cuba yang terbaik. Saya yakin dengan pemain yang ada dan akan cuba memenangi setiap perlawanan selepas ini,” katanya.

Devan dilaporkan melepaskan jawatannya di TRW atas alasan peribadi.

Kelantan di bawah kendalian Devan sehingga pertengahan musim ini berada di tangga keenam Liga Super dengan 12 mata.

TRW sekadar memenangi tiga daripada 10 perlawanan dengan empat lagi rekod kekalahan.

Devan merupakan jurulatih kelima yang meletak jawatan atau direhatkan sepanjang musim ini, selepas Ahmad Yusoff (Terengganu), Jacksen Tiago (Pulau Pinang), K Rajagobal (Sarawak) dan Ahmad Shaharuddin Rosdi (Pahang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.