Teng ambil cuti 6 bulan

Teng ambil cuti 6 bulan

Chang Yeow memohon cuti panjang itu atas alasan mahu menguruskan perniagaannya.

Teng-Chang-Yeow

PETALING JAYA:
Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mengambil cuti panjang selama enam bulan, bermula 15 Mei ini.

Perkara itu disahkan Naib Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong ketika dihubungi China Press.

Menurutnya, Chang Yeow memohon cuti panjang itu atas alasan mahu menguruskan perniagaannya.

Jelasnya, meskipun bercuti, Chang Yeow akan terus memimpin GERAKAN Pulau Pinang dari belakang tabir dan sebarang masalah juga akan dimaklumkan kepadanya.

GERAKAN Pulau Pinang telah meluluskan permohonan cuti Chang Yeow yang diterima pada 9 Mei lalu.

Sebuah portal berita sebelum ini membuat spekulasi Chang Yeow akan menyerahkan surat peletakan jawatannya pada mesyuarat GERAKAN negeri Isnin lalu, tetapi masih kekal sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang.

Chang Yeow kemudiannya menafikan beliau akan melepaskan jawatannya dalam parti itu, sebaliknya beliau akan berundur apabila tiba masanya.

Ini kerana, tegasnya, cara dan pemikiran politiknya tidak lagi relevan dengan zaman ini, bagaimanapun sebelum berundur, beliau perlu melaksanakan penstrukturan semula GERAKAN Pulau Pinang.

Rombakan yang dilakukan GERAKAN Pulau Pinang bulan lalu dalam usaha memberi nafas baru kepada parti itu mengundang spekulasi Chang Yeow bakal berundur.

Kini, tindakannya bercuti panjang pula akan dilihat sebagai persiapan untuk pengundurannya kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.