Menurut laporan New Straits Times (NST), K Devan melepaskan jawatannya bersama pasukan The Red Warriors (TRW) atas alasan peribadi.
Difahamkan juga, surat peletakan jawatan Devan sebagai jurulatih TRW diterima KAFA dan ia akan diumumkan secara rasmi dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut, Dr Hasmiza atau dikenali sebagai Dr Vida juga tidak menolak pasukan TRW akan mencari calon sesuai bagi menggantikan Devan.
“Harus,” ringkas Dr Vida kepada FMT.
Sementara itu, portal bahasa Inggeris itu melaporkan, Devan sebelum ini menghadapi waktu sukar ketika bersama Kelantan ekoran pelbagai gangguan beberapa pihak.
Sebelum ini juga Dr Vida menaja skuad TRW sebanyak RM16 juta bagi dua musim.
Namun keadaan agak tegang apabila Dr Vida tampak kurang berpuas hati dengan prestasi pasukan Kelantan yang dianggap menunjukkan aksi seperti ‘yoyo’ (turun-naik).
Kelantan di bawah kendalian Devan sehingga pertengahan musim ini berada di tangga keenam Liga Super dengan 12 mata.
Dalam 10 perlawanan yang diharungi, hanya tiga kemenangan dicapai dan empat lagi mengalami kekalahan.
Devan merupakan jurulatih kelima yang meletak jawatan atau direhatkan sepanjang musim ini, selepas Ahmad Yusoff (Terengganu), Jacksen Tiago (Pulau Pinang), K Rajagobal (Sarawak) dan Ahmad Shaharuddin Rosdi (Pahang).