Menurutnya, perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan antara kedua-dua pihak.
“We are still under negotiation (kami masih lagi berbincang),” katanya kepada FMT melalui aplikasi WhatsApp hari ini apabila diminta mengulas mengenai hasrat Dr Vida itu.
Bagaimanapun, Ravi tidak membalas pertanyaan bilakah pertemuan dengan Dr Vida akan berlangsung.
Semalam, Dr Vida memberitahu Utusan Malaysia beliau sedang menilai saham Rayani Air dan akan menemui pemiliknya bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan syarikat itu.
Jelasnya, faktor utama beliau tertarik kepada Rayani Air disebabkan konsep patuh syariah yang diamalkan syarikat berkenaan, tambahan pula industri penerbangan mempunyai prospek besar dan beliau bercadang mengembangkan perniagaan dalam bidang lain.
Anak jati Kelantan itu berkata, ia adalah satu kerugian besar jika syarikat penerbangan patuh syariah yang pertama di negara ini ditutup, memandangkan Rayani Air turut menawarkan penerbangan ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Operasi penerbangan Rayani Air digantung selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April lalu kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Sebelum ini, Ravi dilaporkan sebagai berkata, beliau sedia melepaskan 51 peratus pegangan sahamnya kepada pelabur baru dengan syarat syarikat itu perlu kekal patuh syariah walaupun selepas bertukar tangan.
Ravi berkata, kekurangan dana antara faktor utama Rayani Air dilanda masalah sehingga berlaku mogok oleh juruterbang dan kakitangan yang mengancam akan menyaman Rayani Air jika tidak membayar tunggakan gaji mereka.