Setiausaha politik kepada Azmin, Shuhaimi Shafiei berkata pihaknya menafikan dakwaan itu memandangkan semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai bidang kuasa untuk bertindak sedemikian.
“Tak betul tu.. mana state (negeri) di Semenanjung ada kuasa seperti itu,” katanya kepada FMT melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.
Blog negarapakatanrakyat.com sebelum ini melaporkan Azmin akan akan mengambil tindakan sedemikian sebagai balasan terhadap kerajaan negeri Sarawak yang menghalang 40 pemimpin Pakatan Harapan memasuki Sarawak untuk berkempen pada PRN lalu.
“Langkah ini, menurut sumber dalaman Wisma Darul Ehsan, dilihat paling tepat bagi mengajar erti demokrasi kepada kerajaan Sarawak yang sebelum ini dilihat mengamalkan dasar tutup pintu ala-ala Korea Utara semasa PRN berkenaan,” tulis blog berkenaan.
Shuhaimi berkata tindakan penulis blog berkenaan disifatkan sebagai fitnah yang hanya mahu memburukkan reputasi Azmin.
“Ia fitnah yang bertujuan memburukkan reputasi MB (menteri besar). Kita menghormati semangat federalisme,” katanya.