Pilih Ramly Zahari sebagai calon Kuala Kangsar – Nazri

Pilih Ramly Zahari sebagai calon Kuala Kangsar – Nazri

Menteri itu berpendapat ADUN empat penggal itu sesuai diberi tanggungjawab sebagai ahli Parlimen

nazri-kuala-kangsar

KUALA LUMPUR:
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan Ramly Zahari sebagai calon UMNO untuk pilihan raya kecil Kuala Kangsar.

Menurut laporan Malaysiakini, Nazri berkata Ramly, 57, seusai dipilih calon kerusi Parlimen Kuala Kangsar berdasarkan kepada rekod perkhidmatannya.

“Beliau pernah menjadi ADUN selama empat penggal. Walaupun digugurkan dalam pilihan raya umum lepas, dia tidak bersungut sebaliknya terus bekerja keras untuk rakyat Kuala Kangsar,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga berkata Ramly berhubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Ramly sebelum ini merupakan ADUN Manong dan digugurkan dalam pilihan raya umum 2013.

Ramly dilaporkan berkata telah bersedia sekiranya dicalonkan dan mendapat sokongan penuh daripada semua parti komponen.

Pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, allahyarham Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad maut dalam satu kemalangan helikopter minggu lalu.

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah Timbalan Menteri Noriah Kasnon, yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis daripada Dewan Rakyat berhubung kekosongan kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar. SPR akan mengumumkan butiran pilihan raya kecil pada 13 Mei depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.