Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, ini disebabkan pelupusan beberapa syarikat gergasi dalam sektor logistik telah menyebabkan penguasaan bumiputera dalam sektor yang disifatkan strategik itu semakin berkurangan.
“Keseimbangan dari segi penguasaan ekonomi dalam sektor strategik juga harus diambil kira.
“Atas sebab itu, MPM mendesak kerajaan untuk campur tangan. Kalau nak MISC jual juga pastikan syarikat bumiputera secara mutlak (yang beli). Maksudnya 100% dikuasai oleh bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat organisasi itu di Desa Pandan hari ini.
Semalam MISC Berhad telah menandatangani Perjanjian Jual Beli dan Penjualan Saham bersyarat untuk menjual dan melepaskan 100% ekuitinya dalam MISC Logistics kepada Swift Haulage Sdn Bhd.
Pemilik Swift Haulage tersebut pula dipercayai bukan dari bumiputera.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, dasar penwastaan yang dibuat pada tahun 80-an terbukti gagal dalam memastikan pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor strategik.
“Hari ini kerajaan meneruskan perlaksanaan polisi yang gagal itu. Kerajaan juga ada buat pendirian bahawa anak-anak syarikat GLC yang dilupuskan hendaklah diberikan kepada syarikat bumiputera.
“Tapi dalam kes ini dia tak berlaku sebegitu. MPM melihat kerajaan membuat dasar dan menjadikan arahan apabila pihak swasta nak menjual rumah, hartanah, bangunan, kilang dan sebagainya kerajaan menetapkan harga bumiputera jauh lebih rendah berbanding dengan bukan bumiputera.
“Tapi malangnya apabila kerajaan nak jual anak syarikat dia sendiri dia tak menggunakan kaedah atau dasar yang sama. Ada ‘double standard’ oleh kerajaan dalam perlaksanaannya sendiri,” tegasnya.
