Mayat ketiga milik pengawal peribadi Noriah, mayat keempat ditemui

Mayat ketiga milik pengawal peribadi Noriah, mayat keempat ditemui

Mayat keempat ditemui pada jam 3.20 petang tadi.

Ahmad-Sobri-Harun_mayat_600

PETALING JAYA:
Mayat ketiga tragedi helikopter terhempas di Sebuyau disahkan milik Konstabel Ahmad Sobri Harun.

Allahyarham adalah pengawal peribadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, ia berdasarkan kad kuasa polis yang ditemui bersama jenazah dan perkara itu turut disahkan Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak.

“Beliau dikenal pasti melalui kad kuasa polis yang ada bersamanya ketika ditemui. Jenazah akan dibawa pulang ke Terengganu oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas selesai urusan di sini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Muhammad Sabtu berkata, Ahmad Sobri, 26, yang berasal dari Terengganu kini bertugas di Unit Cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan membantu pengurusan jenazah Allahyarham Ahmad Sobri.

“Selepas selesai disempurnakan, dimandikan, dikafankan, kita akan bantu dalam urusan pengebumian,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak, petang tadi.

Jenazah Allahyarham ditemui pada jam 12.04 tengah hari tadi di Sungai Batang Lupar, tidak jauh dari kawasan mayat pertama dijumpai.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata, mayat keempat telah ditemui pada jam 3.20 petang tadi.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.