Keluarga mangsa nahas helikopter diberi kaunseling

Keluarga mangsa nahas helikopter diberi kaunseling

Kaunseling untuk ahli keluarga mangsa amat diperlukan agar mereka dapat menerima hakikat orang disayangi sudah pergi selama-lamanya dan tidak terlalu sedih.

rohani

KUCHING:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membawa 10 kaunselor untuk memberi kaunseling kepada ahli keluarga mangsa nahas helikopter Khamis lalu.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan – hotel penginapan keluarga mangsa, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching dan Hospital Umum Sarawak.

Rohani berkata, kaunseling untuk ahli keluarga mangsa amat diperlukan agar mereka dapat menerima hakikat orang disayangi sudah pergi selama-lamanya dan tidak terlalu sedih.

Mengenai proses pengecaman dan pengurusan mayat, Rohani berkata, ahli keluarga mangsa hanya akan dipanggil ke hospital untuk tujuan pengecaman dan pengesahan mayat apabila proses bedah siasat dan ujian DNA selesai.

“Selepas segala pengurusan mayat sudah diselesaikan barulah jenazah akan dihantar pulang untuk urusan pengebumian,” katanya kepada wartawan hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga yang berhasrat sembahyangkan jenazah ikut agama masing-masing boleh berbuat demikian dan kementeriannya akan memberi segala bantuan diperlukan.

Setakat ini empat mangsa telah dijumpai dengan tiga daripadanya telah dikenal pasti.

Mereka ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang ditemui di tebing Sungai Batang Lupar, pagi semalam; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai yang dijumpai pagi ini, kira-kira 15km dari tempat mayat Noriah ditemui serta Konstabel Ahmad Sobri Harun yang merupakan pengawal peribadi Noriah dijumpai pada jam 12.04 tengah hari tadi, tidak jauh dari kawasan mayat pertama dijumpai.

Individu lain yang turut menaiki helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Ketika kejadian, helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong ke Kuching pada jam 4.12 petang Khamis lalu, sebelum terputus hubungan dan tidak dapat dikesan radar 20 minit kemudian.

Ahli keluarga mangsa dalam tragedi itu tiba di Kuching sejak semalam.

Jenazah Noriah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong, Tanjong Karang, Selangor awal pagi tadi.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.