Serpihan itu termasuk sebuah kerusi, alat pemutar (rotation device), sebahagian pintu dan serpihan dinding pesawat, dijumpai bersebelahan Sungai Batang Lupar, kira-kira jam 9.50 pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengesahkan helikopter itu membawa enam orang, termasuk seorang juruterbang.
Mereka adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun serta juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.
“Setakat ini kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan yang kita sudah
kehilangan mereka,” kata Najib dalam satu sidang media sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak akan menyertai orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat dan solat hajat di Masjid Bahagian Kuching, tengah hari nanti, bagi mendoakan keselamatan enam orang yang menaiki helikopter itu.
Tan Sri Adenan Satem yang bimbang dengan keselamatan dan nasib enam orang yang berada dalam helikopter hilang sejak petang semalam itu turut menggesa rakyat Sarawak supaya berdoa untuk mereka.
Helikopter yang disewa khas Hornbill Skyways itu dikatakan berlepas dari padang Sekolah Menengah Kebangsaan Spaoh, Betong, pada jam 4.12 petang semalam.
Bagaimanapun, ia dikatakan terputus hubungan pada 4.32 petang, ketika menghampiri kawasan Triso, Sebuyau.
