Penduduk berang rumah lebih 100 tahun rosak

Penduduk berang rumah lebih 100 tahun rosak

Setiap hari serpihan pembinaan seperti batu dan kayu jatuh menimpa rumah penduduk yang terletak bersebelahan projek pembinaan.

kampung-baru_6002

KUALA LUMPUR:
Penduduk di Kampung Baru berang apabila rumah berusia lebih 100 tahun mengalami kerosakan teruk akibat projek pembinaan bangunan bersebelahan.

Siti Nur Eza Mohamed Yusof, 36, mendakwa serpihan pembinaan seperti batu dan kayu menimpa rumahnya kerana kedudukan rumahnya yang terletak di sebelah projek pembinaan.

Beliau berkata, sebanyak 14 aduan telah dikemukakan kepada pihak berwajib antaranya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat pemaju, Kembang Serantau Sdn Bhd, tetapi tiada tindakan diambil.

“Kami harap tindakan segera dapat diambil sebab rumah kami memang sudah rosak teruk dengan bumbung pecah, mendap dan sebagainya.

“Sedih bila lihat rumah yang telah terbina sejak lebih 100 tahun dulu rosak macam ini. Kami minta bantuan sangat agar pihak pemaju dan kontraktor ambil berat tentang permasalahan ini,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap pemaju di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Siti Nur Eza menambah, pihaknya membantah projek pembinaan yang bermula sejak empat tahun lalu di sebelah rumahnya.

“Pihak kontraktor juga tidak bertanya untuk membuat pembinaan. Kami langsung tak setuju dengan pembinaan itu sebab rumah kami rosak.

“Mereka juga menjalankan kerja sehingga 5 pagi dan setiap hari kami diganggu,” katanya.

Sehubungan itu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menggesa polis segera mengambil tindakan terhadap pihak berkaitan kerana ia boleh membahayakan keselamatan penduduk di sekitar kawasan itu.

“Bermacam-macam benda jatuh langsung pemaju tidak ambil peduli. Ayah gesa siasat segera. DBKL turun padang.

“Mereka bekerja sampai larut malam, sampai ke pagi. Mana aturan (kerja) dia? Buat kerja, kerjalah tapi jangan ganggu ketenteraman penduduk,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.