Mereka yang ditemui krew FMT berpandangan lokasi yang dipilih kali ini tidak strategik berbanding tahun-tahun sebelum ini yang diadakan di PWTC.
PWTC dilihat lokasi yang terbaik kerana mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang banyak berbanding di MAEPS.
Menurut seorang pempamer di PBAKL 2016 yang juga Pengurus Pemasaran dan Jualan DuBook Press Sdn Bhd, Mohd Asyraf Bazli, lokasi yang tidak strategik telah mengakibatkan penjualan bukunya merosot berbanding tahun sebelum ini.
“Kita boleh nampak secara kasar, lebih 50 peratus kerugian telah dialami oleh kami setakat hari ini. Kita rasakan faktor lokasi yang kurang dikenali dan kurangnya pengangkutan awam menyukarkan pengunjung untuk datang ke PBAKL.
“Selain itu, pelajar-pelajar yang sering datang ke PBAKL juga dilihat kurang pada penganjuran kali ini. Jika di PWTC dulu ramai pelajar dari Perak seperti pelajar Universti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pelajar daripada sekitar di Kuala Lumpur seperti Universiti Malaya (UM) dan juga koleh-kolej hadir ke PBAKL. Namun di MAEPS ini sangat kurang. Kalau ada pun pelajar daripada Universti Putra Malaysia (UPM),” katanya.
Asyraf juga sangat kecewa kerana pihak penganjur kurang membuat promosi penganjuran PBAKL kali ini.
“Saya nampak promosi memang sangat teruk. Kalau lihat di dewan pun tak banyak banting. Tidak ada naik billboard besar di jalan-jalan utama seperti di lebuhraya. Ini menyukarkan pengunjung luar negeri lain datang ke MAEPS,” katanya lagi.
Penganjuran PBAKL 2016 berlangsung selama 11 hari yang telah bermula pada 29 April hingga ke 9 Mei ini.
Pameran ini anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Sementara itu, Ketua Editor Terfaktab Media, Syazrul Aqram berkata lokasi pemilihan PBAKL kali ini telah membunuh pembaca buku tegar.
Katanya, MAEPS sangat tidak sesuai untuk menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa dan berpandangan lokasi itu lebih sesuai untuk penganjuran fesyen.
“Kita harap pihak penganjur perlu perbaiki lagi dari segi lokasi yang dipilih kerana sebagai pempamer tentunya kami tidak mahu ambil risiko masa akan datang jika diadakan di MAEPS.
“Kita juga harap ada perbincangan rapat antara pihak penganjur, pempamer buku dan penerbit buku selepas ini. Ini kerana keputusan memindahkan lokasi di MAEPS ini juga tidak ada perbincangan dengan pempamer,” katanya.
Selain itu, Pengurus Penjualan Buku Sasbadi, Chen Yee Cheong berharap penganjur memindahkan lokasi PBAKL ke PWTC pada tahun hadapan.
Beliau berkata PWTC memudahkan pengunjung datang ke PBAKL.
“Saya lagi suka jika PBAKL diadakan di PWTC. Dari segi perjalanan lebih sesuai kerana banyak pengangkutan awam boleh digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, pempamer dari Singapura, Ahmad Faizal tidak berpuas hati debgan penempatan pempamer antarabangsa.
Ini disebabkan gerainya telah ditempatkan bersama pempamer-pempamer tempatan.
“Di MAEPS ini berbeza kerana terlalu banyak dewan yang menempatkan pempamer dibahagi-bahagikan. Berbanding di PWTC hanya dalam satu bangunan. Jadi ini menyebabkan kami perlu bersaing dan menyebabkan pempamer Antarabangsa kali ini kurang mendapat sambutan.”
Pemerhatian FMT mendapati terdapat beberapa ciri penting dalam penganjuran kali ini iaitu ruang dewan yang lebih luas, penyediaan lebih 6,000 petak letak kereta dan perkhidmatan pengantara daripada stesen pengangkutan awam yang berhampiran.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, penganjuran kali ini menarik lebih ramai peserta antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, Brunei, China, Filipina, India, Indonesia, Iran, Iraq, Mesir, Singapura, Syria, Thailand, Turki, United Kingdom dan Vietnam.
Katanya, penganjur meletakkan sasaran pengunjung lebih daripada 2.5 juta orang.
