Gaji rendah punca perceraian

Gaji rendah punca perceraian

Majikan disaran mempertimbangkan kos sara hidup dan perbelanjaan pada masa kini dalam hal pemberian gaji.

cerai
PETALING JAYA: Gaji atau pendapatan yang rendah dikaitkan sebagai salah satu punca perceraian bagi pasangan berkahwin di negara ini.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan, sumber kewangan yang kukuh mampu menyelamatkan hubungan suami isteri kerana ia dapat memenuhi keperluan rumah tangga dan keluarga itu sendiri.

Justeru Setiausaha Agungnya, N Gopal Krishnam menyarankan pihak majikan supaya mempertimbangkan kos sara hidup dan perbelanjaan pada masa kini dalam hal pemberian gaji.

“Sekiranya pendapatan yang diperoleh oleh salah seorang atau kedua pasangan tidak mencukupi dalam memenuhi keperluan harian, ia boleh menjejaskan hubungan sosial dan kehidupan keluarga individu terbabit,” katanya lapor Sinar Online.

Gopal Krishnam menyifatkan masalah perceraian yang berakar umbi daripada kewangan akan beterusan jika majikan terus memilih untuk membayar gaji yang rendah.

“Kita kena faham yang zaman sekarang, kita hidup dalam tekanan di sekeliling kita. Statistik menunjukkan yang 65 peratus keluarga di negara ini berpendapatan isi rumah di bawah RM3,500 ke bawah,” katanya.

Dalam pada itu, turut diungkitkan mengenai hutang yang menekan individu sebaik sahaja berkeluarga atau berumah tangga.

“Macam mana kita nak bayar rumah, kereta, dan dalam masa yang sama menanggung perbelanjaan dan keperluan seharian kita dengan gaji yang begitu rendah?”

“Semasa mereka kahwin, mereka sudah berhutang dengan bank (menerusi pinjaman peribadi). Mereka terpaksa berbuat demikian kerana mereka tidak ada simpanan.

“Dan bagaimana mereka mahu menyimpan jika pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi?” soalnya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.