BNPL tak berbayar 3.3%, 70% pengguna B40

BNPL tak berbayar 3.3%, 70% pengguna B40

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata beban hutang pengguna BNPL adalah terurus.

Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, berkata bilangan transaksi BNPL tahun lalu mencecah 243 juta dengan nilai keseluruhan RM21.3 bilion.
PETALING JAYA:
Nilai pinjaman skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) mencecah RM4.9 billion setakat 31 Dis 2025, dan dijangka kekal 0.3% daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah negara, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata, pada 2025, bilangan transaksi BNPL mencecah 243 juta dengan nilai keseluruhan RM21.3 bilion, meningkat dengan ketara, masing-masing sebanyak 66% dan 78%, berbanding 2024 iaitu 146 juta transaksi bernilai RM12 bilion

“Setakat 31 Dis, jumlah BNPL yang tidak berbayar (overdue) adalah terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.

“Angka ini mencerminkan bahawa beban hutang pengguna BNPL adalah terurus,” katanya menurut Bernama pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan bagi menilai keberkesanan rangka kawal selia sedia ada terhadap kemudahan kredit digital, termasuk skim BNPL dan kredit e-dompet dalam melindungi kepentingan belia.

Mengenai transaksi BNPL dalam kalangan golongan belia iaitu mereka yang berumur 30 tahun dan ke bawah, Liew berkata golongan itu merangkumi kira-kira 40% daripada jumlah keseluruhan transaksi BNPL.

Katanya, secara amnya, skim BNPL digunakan untuk pembelian makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan, dengan purata pembelian bagi setiap transaksi adalah RM91.

“Kajian oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOBTF) menunjukkan lebih 70% daripada keseluruhan pengguna aktif BNPL adalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.