Malah, beliau akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah dan ‘damage’ akibat surat rasmi yang dihantar pada lapan Mac lalu.
“Surat itu memang sudah dihantar jadi memang tidak akan tarik balik, tidak perlu tarik balik. Saya sebagai Presiden hantar surat itu kepada menteri mengenai isu-isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Saya tidak akan tarik balik sebab surat itu memang dah ‘jalan’ dan kalau ada ‘damage’ yang berlaku, saya bertanggungjawab kepada surat itu,” katanya ketika dihubungi FMT, semalam.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan antara sebab-sebab Jurey menghantar surat kepada Salleh adalah disebabkan beliau mendakwa Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman menyalahgunakan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dan Wajib Tayang di bawah kendalian FINAS.
Pada masa sama, Jurey turut mengesahkan bahawa beliau telah bertemu Kamil kelmarin di Hotel Hilton Kuala Lumpur bagi membincangkan kemelut yang berlaku.
“Kita tengok isu ini menyebabkan kita menjadi pecah belah dan rosakkan imej masing-masing. Kita ambil peluang untuk bincang dari hati ke hati dan mencari penyelesaian dalam isu ini.
“Kami secara peribadi tidak ada masalah. Semalam (kelmarin) kita jumpa dari hati ke hati, kita mencari titik pertemuan supaya kita boleh bekerjasama.
“Pada saya yang penting adalah industri. Presiden akan datang dan pergi, dan yang penting adalah industri kekal. Kita nak ‘clear the air’, supaya tidak berlaku perbalahan di antara penyokong kedua-dua belah pihak,” ujarnya lagi.
Mengulas tindakan lima persatuan yang nekad keluar daripada GAFIM, Jurey menyatakan beliau menghormati keputusan mereka dan percaya ia dilakukan dengan cara yang sah.
“Masing-masing persatuan ada agenda masing-masing dan keputusan mereka untuk keluar itu kita hormat dan ia adalah keputusan yang sah,” katanya lagi.
Lima persatuan yang dilaporkan itu adalah Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografer Malaysia (MYSC) dan Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (Postam).
