Ganjaran RM5k untuk cari bekas suami Indira Gandhi

Ganjaran RM5k untuk cari bekas suami Indira Gandhi

Sivarraajh berkata, ia adalah tanggungjawab Pemuda MIC untuk membantu polis dalam apa jua cara.

mic-youth

PETALING JAYA:
Pemuda MIC menawarkan RM5,000 bagi mendapatkan maklumat mengenai kedudukan bekas suami M Indira Gandhi, Muhammad Ridhuan Abdullah.

Ketua sayap itu, C Sivarraajh memberitahu FMT demikian apabila diminta mengulas laporan berita mengenai polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan di mana Ridhuan berada.

“Amat mengejutkan untuk baca berita polis tidak dapat kesan di mana Ridhuan berada,” katanya.

Menurutnya, beliau pasti Polis Diraja Malaysia yang merupakan antara pasukan polis terbaik di dunia dalam penyelesaian kes, akan ada cara untuk mengesan dan menahan Ridhuan.

Pun begitu, Sivarraajh berkata, Pemuda MIC berpendapat ia adalah tanggungjawab mereka untuk membantu polis dalam apa jua cara sekalipun, oleh itu mereka menawarkan wang tunai RM5,000 sebagai ganjaran.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kedudukan Ridhuan boleh menghubungi 03-4043 1111, 010-221 1881 (Arvind) atau 016-597 9438 (Seelan).

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Ridhuan yang mengingkari perintah mahkamah supaya memulangkan anak bongsunya, Prasana Diksa kepada bekas isterinya.

Ridhuan menculik kanak-kanak itu ketika beliau berusia 11 bulan, sebelum menukarkan agama tiga anaknya tanpa pengetahuan Indira.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong dilaporkan sebagai berkata, polis telah memeriksa semua alamat Ridhuan yang diketahui mereka, namun tidak berhasil.

Malah, ahli keluarga dan rakan-rakannya juga tidak tahu di mana beliau berada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.