Orang ramai diminta bantu cari bekas suami Indira Gandhi

Orang ramai diminta bantu cari bekas suami Indira Gandhi

Ahli keluarga dan rakan-rakan tidak tahu di mana Muhammad Ridhuan berada.

sum,ridhuan
PETALING JAYA: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan lelaki mualaf, Muhammad Ridhuan Abdullah yang menghilangkan diri selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap Muhammad Ridhuan yang mengingkari perintah mahkamah supaya memulangkan anak bongsunya, Prasana Diksa kepada bekas isterinya, M Indira Gandhi.

Muhammad Ridhuan menculik kanak-kanak itu ketika beliau berusia 11 bulan, sebelum menukarkan agama tiga anaknya tanpa pengetahuan Indira.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong yang dipetik The Star Online berkata, polis telah memeriksa semua alamat Muhammad Ridhuan yang diketahui mereka, namun tidak berhasil.

Malah, ahli keluarga dan rakan-rakannya juga tidak tahu di mana beliau berada.

“Kami telah tanya, tetapi tiada siapa yang tahu. Malah sebelum (keputusan Mahkamah Persekutuan), kami cuba cari dia dan tidak jumpa,” katanya sambil menambah Muhammad Ridhuan tidak lagi menghubungi peguamnya di Ipoh dan telah mendapat khidmat peguam baru selepas kesnya dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau meminta peguam Indira, M Kulasegaran yang mungkin mengetahui siapa peguam baru Muhammad Ridhuan supaya memberikan nombor telefon itu kepada polis di negeri terbabit, memandangkan bidang kuasanya hanya terhad di Ipoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.