Doa selamat dan ‘korban’ untuk calon SUPP

Doa selamat dan ‘korban’ untuk calon SUPP

Masyarakat Iban mengadakan 'miring' bagi mendoakan kemenangan Sebastian Ting pada PRN kali ini.

SUPP

MIRI:
Sebaik sebelum calon SUPP DUN Piasau, Datuk Sebastian Ting melangkah ke balairaya Kampung Api-api yang menjadi tempat upacara, seekor babi hutan disembelih.

Di balairaya, Sebastian bersama isteri dan beberapa ahli SUPP duduk bersila, sementara seorang penduduk kampung memegang seekor ayam kampung dan membaca doa diiringi muzik tradisional. Usai bacaan doa, ayam itu juga disembelih.

Berikut adalah upacara ‘miring’, budaya masyarakat Iban yang bertujuan memohon restu dan perlindungan daripada ‘Dewa Keling’ – salah satu ‘Petara’ atau dewa dalam kepercayaan tradisi Iban.

Dan pada pagi ini, komuniti SUPP Kampung Api-api yang terdiri daripada masyarakat Iban mengadakan ‘miring’ bagi mendoakan kemenangan Sebastian pada PRN kali ini.

Menurut Setiausaha SUPP Kampung Api-api, Christopher Pilo, walaupun kebanyakan masyarakat Iban kini ada yang memeluk agama lain, adat dan budaya mereka tetap dikekalkan.

“Babi hutan disembelih bagi ‘memanggil’ Keling untuk bersama-sama Sebastian, ayam pula digunakan ketika bacaan doa berlangsung,” katanya lagi.

Pengerusi SUPP Komuniti Kampung Api-api Jemat ak Ibat meminta agar masyarakat Iban di sini kali ini akan memberikan sokongan kepada Sebastian.

“Walapun (PRN) dulu ramai yang lari daripada BN, kali ini kita semua mesti bersatu menyokong Datuk. Jangan ikut pembangkang lagi.

“Pembangkang hanya pandai berkata-kata, selepas pilihanraya tidak nampak muka lagi. Kita sendiri pun tahu,” katanya selepas upacara tersebut.

Sebastian dalam ucapannya pula menyatakan penghargaan kepada SUPP Kampung Api-api serta penduduk kampung tang hadir bagi mendoakan kemenangannya.

“Terima kasih atas doa dan ucapan. Aku janji akan kuat kerja bersama-sama anda. Kasi aku satu peluang,” katanya.

‘Kasi aku satu peluang’ adalah slogan Sebastian yang terpampang pada setiap poster dan bahan kempennya.

Kerusi DUN Piasau dipegang DAP pada penggal lalu, apabila Alan Ling membuat antara kejutan paling besar dalam PRN 2011 dengan menewaskan Presiden SUPP pada ketika itu, Tan Sri Dr George Chan dengan majoriti 1,590 undi.

Justeru, Sebastian boleh dikatakan antara pemimpin SUPP yang menggalas tanggungjawab paling getir pada PRN ini bagi merampas semula DUN tradisi partinya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.