Kira-kira 500 peserta daripada 74 badan bukan kerajaan termasuk parti politik dan persatuan pelajar berkumpul di pusat beli-belah Maju Junction, Jalan Sultan Ismail seawal jam 9 pagi dan berarak ke Leboh Pasar di ibu negara, hari ini.
Bertemakan ‘Utamakan Pekerja, Selamatkan Malaysia’, mereka datang dengan kain rentang dan sepanduk aneka rupa antaranya menyeru kaum pekerja supaya bersatu, bantah GST, selamatkan alam sekitar, Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) koruptor, tak perlukan Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) serta bebaskan media.
Turut kelihatan bendera pelangi enam warna PRIDE iaitu simbol untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Tuntutan pertama, tubuhkan tabung pemberhentian pekerja!” laung jurucakap perhimpunan hari ini, Nalini Elumalai daripada Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) kepada hadirin.
“Tuntutan kedua, laksana gaji minima RM1500,” laungnya lagi membacakan senarai tuntutan 17 perkara yang diulang baca oleh peserta himpunan.
Mereka turut menuntut kerajaan supaya mengiktiraf hak Orang Asal dan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Meskipun tanpa kehadiran yang besar, himpunan meriah diraikan lagu-laguan “Undur Najib” dan “Terima kasih rakyat Malaysia” dengan iringan paluan gendang dan tamborin.
Turut bersama Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan dan aktivis, Fahmi Reza. Kumpulan berpakaian serba hitam dan bertutup muka mereka juga kelihatan di celah-celah lautan merah dengan kain rentang “bangkit melawan atau diam tertindas” dan “bash the bosses”.
Himpunan berlangsung secara aman dan peserta bersurai sekitar jam 12.45 tengah hari seusai membacakan 17 tuntutan mereka.
