
Dalam kenyataan bersama, NGO berkenaan berkata peluasan itu boleh dimulakan dengan tiga kumpulan utama yang dianggap praktikal untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu akan datang.
“Pertama, pelajar universiti awam di luar Sabah, dianggarkan antara 40,000 hingga 50,000 orang; kedua, rakyat Sabah yang sedang dirawat di hospital atau tinggal di rumah jagaan; dan ketiga, calon, ejen pilihan raya, ejen pengundian dan pengiraan, serta mereka yang bertugas dalam pilihan raya negeri,” kata kenyataan itu.
Mereka menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu SPR memperluas undi pos bagi pengundi Sabah yang tidak dapat pulang pada hari mengundi.
“Peluasan undi pos tidak memerlukan sebarang pindaan undang-undang. SPR mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kategori baharu individu yang layak sebagai pengundi pos berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Perenggan 3(1)(e) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Undi Pos) 2003,” kata mereka.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘semua pihak berkuasa awam hendaklah, atas permintaan SPR, memberikan bantuan yang munasabah bagi melaksanakan tanggungjawabnya.’
Antara CSO yang terlibat ialah Suara Mahasiswa UMS, Hai Mandak!, Sabah Entitlement & Equity Now, Cahaya Society, PACOS Trust, Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama, Engage, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat dan Projek Sama.
Mereka mencadangkan agar SPR membuka permohonan undi pos yang diperluas itu bermula 3 November untuk dua kumpulan pertama.
“Walaupun tempoh pendaftaran yang singkat ini mungkin mengehadkan bilangan pengundi yang berdaftar (namun memudahkan pelaksanaannya), ia tetap amat bermakna dalam memperluas hak dan kemudahan mengundi melalui undi pos,” kata mereka.
Mereka mencadangkan supaya pelajar Sabah di universiti awam luar negeri diletakkan di bawah kategori baharu ‘1D’, manakala rakyat Sabah di hospital dan rumah jagaan di bawah kategori ‘1E’, dengan tarikh akhir permohonan undi pos pada 7 Nov.
Bagi calon, ejen pilihan raya, PACA (ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi) serta mereka yang bertugas dalam PRN, di bawah kategori diperluas ‘1A’, tempoh permohonan dicadangkan dilanjutkan sehingga 15 Nov.
“Jika SPR mendapati cadangan ini tidak dapat dilaksanakan, kami mengalu-alukan penjelasan awam mengenai sebab penolakan tersebut.
“SPR juga tidak boleh berdiam diri seolah-olah mengabaikan pandangan rakyat Sabah khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” kata mereka.
Mereka memberi amaran bahawa SPR dan Putrajaya perlu menjawab kepada rakyat sekiranya peratusan keluar mengundi bagi PRN Sabah jatuh di bawah 60%.
Tindakan selepas pilihan raya
Kumpulan itu berkata selepas pilihan raya Sabah, SPR perlu membangunkan pangkalan data pengundi luar negeri Sabah dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan perancangan dan pelaksanaan undi pos pada masa akan datang.
Mereka juga mencadangkan agar peraturan sedia ada dipinda supaya pengundi dari Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung yang tinggal di luar wilayah masing-masing secara automatik diklasifikasikan sebagai layak untuk mengundi melalui undi pos, sama seperti rakyat Malaysia di luar negara.
PRN Sabah akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov dan undi awal pada 25 Nov.