
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang mewakili gabungan NGO berkenaan berkata, pertemuan itu menjadi peluang penting untuk memperkukuh hubungan Malaysia-AS berasaskan prinsip saling menghormati dan nilai kemanusiaan sejagat.
Menurutnya, langkah Anwar itu seiring dengan matlamat memperkasa ekonomi negara melalui hubungan strategik dua hala dengan kuasa besar seperti AS.
“Kami menyatakan sokongan penuh terhadap usaha perdana menteri memperkukuh hubungan Malaysia-AS sebagai langkah memulihkan dan memperkasakan ekonomi negara,” katanya selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Anwar di sini.
Fahmi berkata, kerjasama antara kedua-dua negara diyakini mampu membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi baharu serta pengukuhan keselamatan ekonomi dan siber.
Namun, katanya, hubungan itu mesti berpaksikan prinsip menghormati kedaulatan negara tanpa mengorbankan kepentingan rakyat dan maruah Malaysia.
Beliau turut berharap sebarang pelaburan asing yang terhasil daripada hubungan tersebut akan berteraskan nilai kelestarian, keadilan sosial dan pembangunan manusia yang inklusif.
“Kami menyokong langkah perdana menteri menggunakan platform Sidang Kemuncak Asean untuk menegaskan kedudukan Malaysia sebagai pusat keamanan dan dialog serantau yang menjadi jambatan antara dunia Barat dan Timur,” katanya.
Gabungan NGO itu merangkumi ABIM, IKRAM, WADAH, PKPIM, HALUAN, Ops Ihsan, MAHAR, BDS Malaysia, MBM, MAPIM, ACCIN, MACMA, MRA, Persatuan Murabbi Madani, IITQAN dan Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM).