Kanak-kanak maut didera, ibu bapa ditahan

Kanak-kanak maut didera, ibu bapa ditahan

Pemeriksaan awal yang dilakukan pada mayat mendapati bayi malang itu patah tulang belikat, patah tulang rusuk kiri, kesan lebam pada badan serta calar pada mata dan dahi.

baby-killed

PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditahan polis selepas bayi mereka berusia dua bulan maut dengan kesan patah pada tulang dan lebam.

Bayi lelaki itu dipercayai didera di kuarters pekerja sebuah institusi pengajian tinggi di Bintulu kelmarin.
Menurut laporan Harian Metro, bayi lelaki itu dibawa ibu bapanya berusia 25 dan 30 tahun ke Hospital Bintulu selepas mendapati bayi terbabit tidak sedarkan diri pada jam 7 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata polis menerima panggilan dari Hospital Bintulu memaklumkan menerima pesakit seorang bayi yang mempunyai kesan lebam dan bengkak, sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal yang dilakukan pada mayat mendapati bayi malang itu patah tulang belikat, patah tulang rusuk kiri, kesan lebam pada badan serta calar pada mata dan dahi,” katanya.

Ekoran itu, polis sudahpun menahan pasangan suami isteri itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan pada 2.30 petang.

Dalam satu lagi insiden berlainan di Besut, seorang bapa tiri direman selama empat hari selepas dipercayai mendera anak tirinya yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dipercayai sering dipukul hingga lebam pada pipi dan badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata suspek ditahan di rumahnya di Jerteh semalam.

“Ibu mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut kepada suaminya. Dia hanya akan menyapu ubat pada anaknya setelah suaminya keluar bekerja,” katanya, lapor Bernama.

Kes kanak-kanak tersebut kini mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turut menghantarnya untuk mendapat rawatan di Hospital Besut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.