Polis akan keluarkan waran tangkap ke atas Ridhuan

Polis akan keluarkan waran tangkap ke atas Ridhuan

Sebelum ini polis mengambil sikap berdiri di tengah-tengah oleh kerana dua perintah mahkamah yang sama taraf yang bercanggah.

khalid_riduan_600
KUCHING : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas suami M Indira Gandhi, Muhammad Ridhuan Abdullah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan patuhi arahan Mahkamah Pesekutuan justeru mengeluarkan waran tangkap kepada Muhammad Ridhuan yang juga dikenali sebagai K Patmanathan atas kesalahan menghina mahkamah.

“Sebelum ini memang kita mengambil sikap berdiri di tengah-tengah oleh kerana dua perintah mahkamah yang sama taraf yang bercanggah.

“Tapi Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dalam sistem keadilan negara kita dan polis akan mematuhi arahan Mahkamah Persekutuan. Kita akan melaksanakan waran tangkap ke atas orang yang dikehendaki,” katanya kepada pemberita di luar Masjid Darul Ibadah.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan mengarahkan Khalid menahan bekas suami guru tadika, Indira, kerana didakwa menghina mahkamah.

Muhammad Ridhuan sebelum ini enggan memulangkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa yang diculiknya pada Mac 2009.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.