Bekas wartawan bebas dengan jaminan polis

Bekas wartawan bebas dengan jaminan polis

Rex Tan dibebaskan kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi.

m kumar
M Kumar berkata polis turut merampas telefon bimbit Rex Tan untuk siasatan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Bekas wartawan FMT Rex Tan dibebaskan selepas keterangannya dirakam polis sejak tengah malam tadi.

Peguamnya Rajsurian Pillai memberitahu Tan dibebaskan kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi, lapor Harian Metro.

Tan, 31, yang meletak jawatan pagi semalam ditahan selepas hadir ke IPD Dang Wangi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar pula berkata Tan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dirakam.

“Kita turut merampas telefon bimbitnya bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes membabitkan Tan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kontroversi membabitkan Tan berlaku pada syarahan bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”, Isnin lalu, menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.

Susulan kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui soalan yang dikemukakannya “tidak disusun dengan baik”, tidak mengambil kira kesesuaiannya dengan program tersebut, serta kurang mempertimbangkan sensitiviti isu berkenaan.

FMT juga memohon maaf dengan menyatakan pihaknya tidak mengetahui lebih awal niat Tan untuk mengemukakan soalan itu dan tidak menyokong kenyataan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.