Nauraj cipta rekod baharu, layak ke Olimpik Rio de Janeiro

Nauraj cipta rekod baharu, layak ke Olimpik Rio de Janeiro

Nauraj layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro Ogos ini secara merit selepas mencatatkan 2.29 meter pada kejohanan itu, menyamai had kelayakan ke Sukan Olimpik.

Nauraj-Singh
SINGAPURA: Gembira! Terharu! Puas hati! Itu adalah reaksi segera atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa apabila ditanya pencapaian bersejarahnya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, Khamis.

Nauraj Singh, 24, layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro Ogos ini secara merit selepas mencatatkan 2.29 meter pada kejohanan itu, menyamai had kelayakan ke Sukan Olimpik.

Selain memenangi pingat emas, kejayaan beliau itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 2.27 meter yang dipegang Lee Hup Wei sejak 2010.

Atlet ini juga memperbaiki catatan terbaiknya, 2.25 meter ketika menyertai Canberra Track Classic dua bulan lepas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang membantu saya sepanjang tiga bulan lepas ketika saya menjalani latihan di Australia,” kata Nauraj kepada Bernama.

“Tempoh tiga bulan itu adalah sangat penting bagi saya. Ia membawa saya di mana saya sekarang. Tanpa latihan itu, saya tidak percaya saya berjaya melakukannya,” katanya.

Nauraj Singh, yang kini menuntut di Universiti Malaya, adalah atlet olahraga pertama dan atlet ke-13 yang akan berlepas ke Rio, Ogos ini.

Atlet kelahiran Johor in akan menyertai 12 atlet negara yang terbabit acara memanah, menembak, berbasikal, terjun, renang dan kapal layar, ke Brazil.

“Ini merupakan penampilan pertama saya di Olimpik. Saya berharap dapat menunjukkan lompatan terbaik untuk menguji keupayaan maksimum saya.

“Saya berharap untuk menetapkan matlamat baharu. Kali ini kami akan melakukan sesuatu untuk olahraga Malaysia. Kami akan meningkatkan keupayaan kami. Saya akan lebih gembira jika layak ke final,” katanya.

Ia merupakan kemenangan keempat Nauraj Singh dalam kejohanan antarabangsa pada tahun ini, yang sebelum ini memenangi tiga pertandingan semasa menyertai Australian Athletics Tour.

 

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.