Ekoran itu, Sultan Sharafuddin bertitah supaya rakyat Selangor tidak terjerumus dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah dan amalan, kesan daripada pengaruh halus yang dilakukan oleh individu sesat dan berkepentingan.
“Lebih membimbangkan, ialah apabila suasana kehidupan, perpaduan, kesatuan dan kerukunan hidup bermasyarakat semakin hilang.
“Perasaan saling hormat-menghormati, bersaudara dan berkasih sayang semakin terhakis, disebabkan sentimen politik yang tidak berkesudahan, manakala budaya fitnah dan suka mempamerkan keaiban orang lain semakin berleluasa dalam masyarakat.
“Fitnah dalam era dunia teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ini, menjadi duri dalam daging kepada kesejahteraan hidup bermasyarakat. Negara dan empayar yang kuat juga boleh musnah kerana fitnah,” titah baginda semasa menutup Program Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) peringkat Selangor di sini hari ini, lapor Bernama.
Sultan Sharafuddin juga bertitah, program multaqa yang dianjurkan hari ini tepat pada masanya sebagai usaha serta platform kepada JAKIM, MAIS dan JAIS dalam menyampaikan isu-isu semasa dan terkini berhubung kepentingan umat Islam.
“Beta ingin menegaskan, telah sampai masanya untuk kita semua membuka mata dan memberi perhatian mendalam serta berbincang dan bertukar-tukar pendapat seterusnya mencari penyelesaian terhadap isu-isu semasa melibatkan umat Islam sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Baginda juga mengingatkan pihak MAIS dan JAIS supaya memastikan institusi masjid menjadi zon aman dan pusat ibadah yang kondusif serta tidak digunakan sebagai tempat berpolitik.
Guru-guru KAFA juga hendaklah mengajar dengan baik dan memastikanmurid-murid mendapat pelajaran yang berkualiti, titah baginda.
“Bagi memastikan nasihat beta dapat direalisasikan, pihak MAIS, JAIS dan semua pegawai tadbir Agama Islam daerah hendaklah memastikan hanya penceramah bertauliah sahaja dibenarkan menyampaikan kuliah atau ceramah.
“Nazir-nazir masjid serta pengerusi-pengerusi surau pula hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) yang dikeluarkan oleh MAIS, dalam memanggil penceramah-penceramah untuk berceramah di masjid dan surau masing-masing,” titah baginda.