Beliau berkata demikian kepada The Star sebagai mengulas laporan polis yang dibuat Low Chee Leong, pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Lai Kuen Ban daripada DAP.
Chee Leong dalam laporan polisnya itu mahu polis trafik mengeluarkan saman kepada Idris atas kesalahan yang didakwa dilakukan Idris di Tehel, Jumaat lalu.
Chee Leong juga mahu saman dikeluarkan kepada ADUN Bemban, Ng Choon Koon kerana membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar.
Idris bagaimanapun memberitahu akhbar berbahasa Inggeris itu yang beliau telah meminta topi keledar untuk dirinya dan Choon Koon, apabila Ketua Kampung Tehel meminta beliau menyertai sekumpulan penunggang motosikal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Disebabkan itu adalah jalan kampung, ketua kampung keberatan (memberi topi keledar) dan mahu kami ikut mereka tidak memakai topi keledar ketika itu,” katanya.
Tidak puas hati pembangkang menggunakan “isu remeh” menyerangnya, Idris berkata, “Mereka tidak boleh cari isu-isu besar lain di Melaka, sampaikan tidak memakai topi keledar pun diperbesarkan.”
Dalam pada itu, Choon Koon berkata, dakwaan kononnya Ketua Menteri menunggang motosikal seperti mat rempit adalah tidak masuk akal.
Beliau tidak percaya isu paling pokok sedemikian memerlukan seorang pegawai kepada wakil rakyat pembangkang untuk membuat laporan polis.