Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohammad Azlin Sadari yang dipetik Sin Chew Daily berkata, polis mengesyaki wanita Indonesia itu belum cukup umur dan telah membawa suspek ke hospital untuk menjalani ujian tulang, bagi mengetahui usianya.
Jelasnya, siasatan polis hampir selesai dan laporan itu dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan (jenayah culik) dan memasuki negara ini secara haram, selain mencadangkan Timbalan Pendakwa Raya mendakwa pasangan suami isteri yang menyembunyikan PATI,” katanya semalam.
Mohammad Azlin berkata, polis terpaksa mendapatkan bantuan Kedutaan Indonesia di Malaysia, memandangkan wanita terbabit enggan mendedahkan identiti atau maklumat mengenai dirinya.
Pada 19 April lalu, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang dilarikan seorang wanita Indonesia, pada sebelah pagi, ditemui selamat pada malam itu.
Puteri Nurkyra Izam bersama wanita Indonesia terbabit ditemui ahli kariah Masjid Al Rahman di Jalan Pantai Baharu, pada jam 9.30 malam Selasa minggu lalu.
Ibu bapa kanak-kanak itu menemui wanita terbabit bersendirian di stesen bas berhampiran Pusat Beli-belah Subang Parade, pada 5 April lalu.
Mereka kemudiannya membenarkan wanita yang mendakwa melarikan diri daripada majikannya itu, menumpang di rumah mereka buat sementara dan bercadang menghantarnya ke Kedutaan Indonesia, pada 19 April lalu.