Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi tidak mahu mengulas mengenai siasatan yang sedang dijalankan.
“Masih dalam siasatan. No komen,” katanya ringkas kepada FMT.
Beliau dihubungi bagi mendapatkan maklum balas kepada gesaan Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) kepada Jabatan Imigresen supaya tampil memberi penjelasan berkenaan isu ini.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu didedahkan MyWatch baru-baru ini dan memaparkan individu berjantina wanita bertindak kasar keatas seorang lelaki yang telah ditahan dipercayai kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Rakaman itu menunjukkan wanita berkenaan menendang dan memukul bahagian tubuh lelaki itu beberapa kali.
Sehubungan itu, Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan menggesa Jabatan Imigresen Malaysia mengambil tindakan terhadap si pemukul.
Sanjeevan mendakwa si pemukul patut dipecat kerana melanggar tatacara pengendalian piawai (SOP) pihak berkuasa dan mencemar nama baik Imigresen.
