Bertempat di sebuah restoran, majlis itu dihadiri Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pemuda Nik Abduh Nik Abdul Aziz, serta calon Pujut, Jofri Jaraiee dan calon Lambir, Arif Paijo.
Jofri dalam ucapannya berkata, kehadiran PAS di Pujut – DUN majoriti Cina – bukan untuk ‘memecahbelahkan’, tetapi untuk membawa kesejahteraan kepada penduduk di sana.
“Jadi tak perlu takut, kalau dengar daripada sebelah pihak sahaja tentu ada macam-macam cerita tetapi malam ini kita jelaskan mengapa kita bertanding (di Pujut),” katanya lagi kepada kira-kira 50 hadirin.
Manifesto itu menggariskan empat bidang pembangunan utama iaitu pendidikan dan kemahiran; kesihatan dan kebajikan; ekonomi dan kemudahan dan pemilikan tanah.
Ia antara lain menjanjikan penubuhan pusat pembangunan awal pra-sekolah (PASTI); pemotongan 25% elaun Adun bagi ‘Tabung Kebajikan Pujut’ dan ‘Tabung Kebajikan Lambir’; meningkatkan kemahiran vokasional dan keusahawanan belia dan ekonomi wanita; dan memperjuangkan Hak Tanah Adat (NCR).
Nik Abduh pula berkata, Dewan Pemuda PAS Pusat akan bersama-sama dalam PRN ini bagi membantu kempen calon-calon PAS dalam PRN ini.
“Sepanjang (tempoh kempen), kita akan beri kefahaman kepada rakyat Sarawak bahawa kehadiran PAS di sini akan menyempurnakan cita-cita dan impian mereka untuk melihat negeri ini maju dan sejahtera, seperti yang sepatutnya dikecapi dengan kekayaan hasil bumi,” katanya lagi.
Manifesto empat perkara yang dilancarkan Hadi kelihatan disesuaikan kepada PRN Sarawak, siap dengan ikrar untuk tidak mengganggu gaya hidup dan budaya penduduk setempat dan penegasan bahawa undang-undang hudud hanya untuk orang Islam.