Pemimpin kanan GPS sokong pilihan raya serentak

Pemimpin kanan GPS sokong pilihan raya serentak

Abdul Karim Rahman Hamzah kata ada kemungkinan PRN diadakan tahun ini.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Ketua Penerangan PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, kata mengadakan PRN dan PRU serentak akan menjimatkan dana. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong PRU16 serentak dengan PRN Sarawak ke-13, yang menurut beliau ada kemungkinan diadakan tahun ini.

Abdul Karim Rahman Hamzah, ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, berpandangan pilihan raya serentak akan menjimatkan dana, lapor Borneo Post.

“Saya amat berharap dapat melihat PRN diadakan serentak dengan PRU. Kita akan dapat menjimatkan banyak wang.

“Sekiranya kos mengadakan PRN mencecah hampir RM1 bilion, kos untuk mengadakan satu lagi pilihan raya Parlimen akan menelan belanja satu bilion lagi,” katanya.

Karim menambah beliau dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya menanggung kos sekitar RM600 juta untuk PRN lalu.

Karim menyatakan GPS bersedia menghadapi PRN pada bila-bila masa. Pilihan raya paling lewat perlu berlaku pada April tahun depan.

Beliau menambah GPS tidak mengambil mudah sokongan rakyat, biarpun pada masa ini ia menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN.

“Sekuat mana pun kedudukan anda, apabila pilihan raya atau pembubaran tiba, anda perlu bekerja keras dan memastikan jentera parti berada di lapangan.

“Kami berada di lapangan bukan untuk berkempen tetapi untuk memastikan kami menunaikan tanggungjawab. Apabila rakyat melihat kerajaan sedia ada bertanggungjawab dan membangunkan negeri, insya-Allah, mereka akan memberikan mandat kepada kami.”

Karim kecewa dengan Parlimen

Mengulas isu lain, Karim menyatakan kekecewaan kerana Parlimen masih belum mengesahkan rang undang-undang yang diluluskan DUN Sarawak untuk menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99.

Beliau berkata keadaan itu seolah-olah menunjukkan suara rakyat Sarawak tidak dihargai dan diiktiraf oleh Parlimen, sedangkan perkara ini hanya melibatkan kerusi negeri dan bukannya kawasan Parlimen.

“Apa yang perlu dilakukan di Parlimen hanyalah satu pengesahan. Sekiranya anda tidak mengesahkannya, itu bermakna anda tidak menghormati suara rakyat Sarawak.

“Terdapat kawasan yang sangat besar. Apabila kawasan-kawasan ini dibahagikan dan terdapat tambahan wakil rakyat, penduduk tempatan di kawasan tersebut akan mendapat perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Karim mewakili rakyat DUN Asajaya selama lima penggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.