Keluarga tebusan rayu sumbangan di kempen PRN

Keluarga tebusan rayu sumbangan di kempen PRN

Keluarga tebusan melutut di atas pentas sambil memegang poster bagi merayu sumbangan orang ramai, pada sesi ceramah calon langsung BN, DAP, STAR dan SUPP

derma-tebusan

PETALING JAYA:
Keluarga empat tebusan yang ditahan kumpulan pengganas Abu Sayyaf awal bulan ini, mengambil peluang pada malam pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 untuk merayu sumbangan daripada orang ramai, bagi membantu pembebasan empat mangsa itu.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kumpulan itu terlebih dahulu mengutip derma di sebuah kedai kopi di Sibu.

Difahamkan, kutipan derma di kedai kopi itu mendapat sambutan menggalakkan, dengan kanak-kanak yang ditemani ibu bapa turut menyumbang kepada keluarga tebusan.

Mereka kemudiannya meneruskan usaha itu di ceramah calon langsung BN, DAP, Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dengan melutut di atas pentas sambil memegang poster bagi merayu sumbangan orang ramai.

Sebanyak RM1,930.50 berjaya dikutip pada sesi ceramah calon STAR di kerusi Bukit Assek, Moh Hiong King, semalam.

DAP pula mengumumkan akan menyerahkan semua kutipan derma pada malam Isnin kepada ahli keluarga tebusan terbabit.

SUPP tidak terkecuali menghulurkan bantuan, dengan menyumbang RM10,000 kepada keluarga tebusan.

Keluarga tebusan turut melakukan perkara sama pada sesi ceramah calon langsung BN.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, keluarga mangsa memaklumkan mereka perlu mendapatkan wang tebusan untuk ditukarkan kepada mata wang peso, sebelum diserahkan kepada orang tengah menjelang 30 April ini, seperti yang ditetapkan kumpulan penculik.

Keempat-empat mangsa culik dari Sarawak itu adalah Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34 yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia, MV MASSIVE 6 yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berdekatan Pulau Ligitan, ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia, pada 1 April lalu.

Difahamkan, empat tebusan Malaysia itu kini disembunyikan di kawasan pergunungan Patikul, Pulau Jolo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.