Dua calon akan bertanding mempertahankan kerusi bapa masing-masing.
Gerald Rentap Jabu, 42, akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Layar untuk mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, selama sembilan penggal, dari 1974.
Alfred Jabu adalah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan pernah menganggotai Kabinet dua bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Rahman Yaakub dan anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud.
Gerald Rentap merupakan Timbalan Ketua Pemuda PBB dan seorang ahli perniagaan yang memegang berapa jawatan penting dalam beberapa syarikat.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perbankan dan Kewangan) dari La Trobe University, Victoria, Australia.
Allan Siden Gramong, 30, pula akan menggantikan bapanya, Datuk Gramong Juna, 69, yang merupakan ADUN Machan selama tujuh penggal.
Allan adalah Ahli Parlimen Belia Malaysia yang mempunyai Sarjana Muda Sastera dari Limkokwing University of Creative Technology.
Sementara itu, dua balu akan mengikut jejak mendiang suami masing-masing dalam politik.
Irene Mary Chang Oi Ling, 51, daripada DAP akan bertanding mempertahankan kerusi Bukit Assek yang dimenangi mendiang suaminya, Wong Ho Leng pada PRN 2011.
Datuk Janet Lau, 69, pula adalah seorang kapitan dan balu kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang akan bertanding di kerusi Pelawan sebagai calon langsung BN.
Seorang lagi calon langsung BN, Datuk Dr Jerip Susil akan bertanding buat kali kedua dengan anak saudaranya daripada PKR, Willie Mongin di Mambong (sebelum ini dikenali sebagai Bengoh) untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1996.
– BERNAMA
