Dua lagi pemimpin pembangkang disekat

Dua lagi pemimpin pembangkang disekat

Ramasamy dan Shazni Munir dilarang memasuki Sarawak, pagi tadi.

ramasamy-shazni-munir
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof P Ramasamy dan Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin menyertai senarai dilarang ke Sarawak, hari ini.

Ramasamy yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pagi tadi, bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke negeri itu oleh pihak berkuasa Imigresen.

“Saya tidak tahu kenapa mereka menganggap saya sebagai satu ancaman, saya adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya rasa mungkin Adenan benar-benar takut. Beliau mahu kemenangan besar dan tunjuk kepada UMNO beliau boleh diharapkan. Dengan berbuat demikian, beliau telah melakukan satu kesilapan besar,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, beliau disekat memasuki Sarawak mungkin kerana Kerajaan Sarawak tidak mahu menarik “perhatian yang tidak perlu”.

Beliau sepatutnya berada di Sarawak selama tiga hari.

“Saya tahu mereka ada autonomi imigresen, tetapi autonomi itu bertujuan memastikan penduduk dari Semenanjung tidak membanjiri Sarawak dan mengambil alih sumber serta pekerjaan orang Sarawak.

“Saya seorang pengunjung, apa kerosakan yang boleh saya lakukan? Saya hormatnya sebelum ini, tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Seorang lagi pemimpin pembangkang yang dihalang menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ialah Shazni Munir.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 7.57 pagi tadi, sebelum dimaklumkan pegawai Imigresen beliau tidak dibenarkan memasuki negeri itu.

“Ketika diiringi ke Pejabat Imigresen, pegawai itu menjerit kepada rakan sekerjanya ‘List A’. Saya dimaklumkan mengenai perkara itu 20 minit kemudian.

“Apakah alasan Kerajaan Sarawak yang diketuai Adenan Satem menafikan kemasukan saya? Sebelum ini, saya tiada masalah ke Bintulu. Saya telah mengetuai jentera pilihan raya Pemuda AMANAH di sana sebelum ini.

“Jika saya disekat kerana daripada parti pembangkang, maka Adenan telah gagal memahami maksud demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.