Calon BN bangga jadi calon `Team Adenan’

Calon BN bangga jadi calon `Team Adenan’

Beliau tidak mengendahkan nasihat sesetengah yang memintanya agar tidak bertanding dan memberikan fokus terhadap perniagaan.

Datuk-Hii-King-Chiong,sarawak

MIRI:
Calon langsung Barisan Nasional (BN), Datuk Hii King Chiong melahirkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada `Team Adenan’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang ke-11.

Sambil menyatakan pencalonan ke atas dirinya itu adalah yang pertama kali, King Chiong menjelaskan sudah bersedia untuk menempuh pilihanraya yang akan berlangsung pada 7 Mei depan.

“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke perjalanan politik yang mencabar. Saya benar-benar bangga menjadi sebahagian daripada ‘Team Adenan’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendedahkan, ada pihak cuba memujuknya agar tidak bertanding dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap perniagaan.

Ia berikutan Pujut merupakan kawasan hitam politik dan gelombangnya juga kencang di seluruh negara.

“(Tetapi) pendirian saya jelas, iaitu untuk menyertai `Team Adenan’ demi mempertahankan autonomi Sarawak, walau apa sahaja cara,” katanya yang juga seorang hartawan berpengaruh di Miri.

Ketika diminta mengulas mengenai calon-calon lain, beliau menganggap semua mempunyai matlamat sama iaitu mahu berkhidmat untuk rakyat.

“Saya tidak akan berkata buruk dan memandang rendah orang lain. Semua di sini mahu berkhidmat kepada rakyat, hanya platform berbeza,” katanya.

Sementara itu, calon DAP, Ting Tiong Choon tidak gentar dan yakin rakyat akan kekal memilih partinya.

“BN ada kuasa dan pengaruh yang besar, tetapi kami ada sokongan rakyat di belakang kami,” katanya selepas tamat tempoh pencalonan.

Calon PAS, Jofri Jaraiee pula menganggap perpecahan undi ekoran pertembungan empat penjuru akan memberikan kelebihan kepadanya.

“Empat penjuru akan memberi kelebihan kepada PAS, insyaAllah.

“Tambahan pula, kebanyakan orang Miri sudah kenal saya, sebab itu saya percaya kami ada peluang di sini,” ujarnya.

Seorang lagi calon, Fong Pau Teck bertanding di bawah tiket bebas.

Beliau merupakan penyandang DUN Pujut apabila memenanginya ketika masih bersama DAP, sebelum dibuang pada tahun 2013 atas sebab disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.