Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, hasil pemeriksaan pihak hospital ke atas guru terbabit tidak menemui sebarang tanda atau kesan patukan ular pada kaki kirinya.
“Guru itu ditempatkan di wad perubatan wanita di hospital itu untuk pemerhatian dan pemantauan lanjut.
“Pakar perubatan mendapati, guru itu berada dalam keadaan stabil, tanpa sebarang tanda patukan ular padanya, sebelum dibenarkan pulang pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dipetik agensi berita Bernama.
Jelasnya, guru terbabit tiba di unit kecemasan HSB kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam, mengadu mengalami rasa kebas pada kaki kirinya, selepas dipercayai dipatuk ular sawa burung, ketika mengambil barang dalam stor sekolah itu.
Bagaimanapun, menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, seorang ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu berkata, ular itu telah dipukul sehingga mati oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit, selepas guru itu dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.