Ekoran itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta campur tangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis Sumber Air Negara (MSAN) menerusi langkah-langkah pencegahan yang dicadangkan untuk dilaksana sehingga bulan Jun 2016.
“Tangguh aktiviti pengairan di semua negeri, terutamanya di selatan Kedah sehingga hujan lebat tiba. Langkah ini akan mengoptimumkan simpanan empangan sehingga ketibaan hujan.
“Kedua, giatkan operasi pembenihan awan di wilayah utara memandangkan simpanan empangan itu hanya akan ‘pulih’ jika terdapat hujan yang mencukupi,” cadangnya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata demikian kerana simpanan air sepanjang musim kemarau di Empangan Muda dan Empangan Beris di Kedah hanya bertahan selama 30 hari sedangkan Jabatan Meteorologi telah menyatakan bahawa fenomena ‘Super El Nino’ akan berterusan sehingga Jun 2016.
Malah pelepasan air harian dari Empangan Muda dan Empangan Beris dikatakan amat penting bagi mengekalkan paras Sungai Muda supaya Kedah dan Pulau Pinang boleh mengambil air mentah.
“Ini kerana 84% pengambilan air mentah untuk bekalan air seharian Pulau Pinang diperolehi daripada sungai ini dan ketiadaan hujan menghalang kedua-dua empangan daripada melepaskan air yang mencukupi sekali gus menyebabkan ke paras air Sungai Muda ke tahap di bawah paras kritikal iaitu 1.5 meter,” jelasnya.
Justeru, beliau mencadangkan MSAN bertindak selagi masih ada peluang ini untuk mengelakkan krisis air.
