Beliau berkata, kebanyakan keluarga, terutamanya Melayu dilihat suka menanam semangat demikian pada anak-anak mereka, sejak kecil lagi.
“Sikap ini akan mengakibatkan anak-anak mereka takutkan hantu dan makhluk halus yang lain, menyebabkan mereka terbawa-bawa hingga adakalanya mereka mengalami histeria (di sekolah),” katanya semalam.
Mohamad Shukri berkata, sikap sedemikian hanya terdapat dalam masyarakat Melayu, berbanding masyarakat lain yang jarang mengalami histeria, terutama ketika berada di sekolah.
Beliau berkata, meskipun tidak dinafikan ada juga masyarakat lain mengalami masalah sama, tetapi yang paling menonjol adalah masyarakat Melayu beragama Islam.
Mufti itu mengulas serangan histeria yang berlaku di beberapa sekolah di Kelantan minggu lepas.
“Keadaan persekitaran juga memainkan peranan terhadap pengaruh histeria, seperti fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas ketika ini.
“Faktor alam ini juga mempengaruhi psikologi seseorang itu, terutama jika mereka tak sihat, kurang tenteram atau susah hati,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, dalam Islam, kewujudan makhluk halus tidak dapat dinafikan, namun orang Islam perlu tahu manusia adalah sebaik-baik makhluk dicipta Allah.
– BERNAMA