Saya tak langgar undang-undang – Nazir Razak

Saya tak langgar undang-undang – Nazir Razak

Pemindahan dana politik ini dilakukan kepada beberapa pemimpin Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.

nazir-cimb

KUALA LUMPUR:
Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak mengakui tidak pernah melakukan sebarang perkara yang melanggar undang-undang, mahupun menyalahgunakan kuasanya dalam syarikat perbankan itu.

Sebelum ini, beliau dikatakan membantu menyalurkan dana politik sebanyak AS$7 juta berdasarkan permintaan abang beliau yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu temuramah video bersama Astro Awani, Nazir yang mengambil cuti sementara secara sukarela sejak semalam, bagi memastikan siasatan berhubung pemindahan dana politik menggunakan akaun bank itu dijalankan de­ngan telus dan menjaga imej CIMB, memberi penjelasan terhadap tindakannya itu.

“Pertama sekali, penyaluran dana dilakukan tiga tahun lalu, pada 2013. Kedua, abang saya meminta bantuan dan saya bersetuju, selepas mendapati tiada pelanggaran undang-undang atau salah guna kuasa saya ataupun bank CIMB,” katanya dalam klip video pertama.

Difahamkan, dana politik ini dipindahkan kepada beberapa pemimpin Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.

Nazir yang mengakui sesal menyalurkan dana politik itu menjelaskan, beliau bertindak sedemikian mengikut pemahamannya.

“Saya seorang banker sejak 26 tahun lalu dan saya sedar tentang undang-undang berkaitan dengannya. Pada waktu itu, tiada sebab untuk saya mempersoalkan dana tersebut.

“Saya tidak akan meletakkan reputasi CIMB pada risiko dengan melakukan sedemikian,” katanya.

Nazir juga mengesahkan, ini adalah satu-satunya bantuan yang diminta abangnya.

“Tidak ada mana-mana masa yang lain abang saya minta bantuan sebegini,” jelasnya.

“Berapa kali abang saya meminta bantuan? Saya rasa itulah yang dilakukan oleh ahli keluarga. Setiap kali bantuan diminta, saya akan menilai sama ada ia tidak melanggar undang-undang dan sama ada ia sah,” katanya dalam temuramah video tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.