Tahanan rumah atau penjara, nasib Najib ditentu 2 keputusan mahkamah

Tahanan rumah atau penjara, nasib Najib ditentu 2 keputusan mahkamah

Keputusan dua hakim Mahkamah Tinggi minggu ini akan menentukan sama ada bekas perdana menteri itu dibenarkan jalani tahanan rumah atau di Penjara Kajang.

najib
Keputusan perbicaraan Najib Razak yang melibatkan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 bilion dalam skandal 1MDB akan diumum, Jumaat ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak akan mengetahui minggu ini sama ada beliau akan terus berada di penjara atau dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah melalui tahanan rumah.

Dua hakim Mahkamah Tinggi dijadualkan menyampaikan keputusan dalam dua kes berasingan yang memberi kesan besar terhadap kebebasan beliau.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Hakim Alice Loke Yee Ching akan memutuskan sama ada membenarkan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Hukuman itu dikenakan selepas beliau disabitkan kesalahan pada 2022 dalam kes SRC International yang melibatkan RM42 juta.

Sementara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah di Putrajaya pada Jumaat ini akan menyampaikan keputusan bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dalam kes rasuah 1MDB.

Menurut dua peguam, pihak pendakwaan dan pembelaan dijangka memfailkan rayuan, yang akhirnya akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk keputusan muktamad.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International sejak Ogos 2022. Hukuman asal 12 tahun itu dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Titah adendum

Keputusan Loke dalam kes SRC International akan menentukan sama ada mahkamah mengiktiraf kewujudan dan pelaksanaan titah adendum diraja berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan.

Jika adendum itu diterima, Najib yang kini berusia 72 tahun berkemungkinan dibenarkan pulang ke rumah.

Namun menurut peguam Kitson Foong, Najib akan kekal dipenjara sekiranya kerajaan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan.

“Saya percaya kerajaan akan memohon penangguhan keputusan sementara rayuan dibuat. Jika penangguhan itu dibenarkan atas sebab-sebab khas, Najib akan terus dipenjarakan,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua pihak akhirnya akan membawa isu itu ke Mahkamah Persekutuan untuk keputusan terakhir.

Kerajaan sebelum ini berhujah walaupun titah adendum itu wujud, kesahihannya masih dipersoalkan kerana didakwa tidak mematuhi peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.

Kerajaan turut mengemukakan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bertarikh 29 Jan 2024, yang menunjukkan kandungan itu tidak dibincangkan.

Ahli lembaga hanya menyatakan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Peguam utama Najib, Shafee Abdullah, menegaskan keputusan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati, sama ada ia dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat atau tidak.

Keputusan kes rasuah 1MDB

Nasib Najib juga bergantung kepada keputusan perbicaraan kes 1MDB yang akan diumumkan Jumaat ini oleh Sequerah, yang kini telah hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam A Srimurugan berkata, jika permohonan semakan kehakiman Najib dalam kes SRC International ditolak dan beliau disabitkan kesalahan dalam kes 1MDB, Najib akan terus berada di penjara.

Menurutnya, mahkamah juga dijangka mengenakan denda yang besar seperti yang ditetapkan undang-undang.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Beliau menegaskan wang itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi dan menafikan sebarang salah laku.

Najib juga menuduh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, berkomplot dengan pengurusan 1MDB sehingga menyebabkan kerugian besar kepada dana kekayaan negara itu tanpa pengetahuannya.

Pihak pendakwaan pula berhujah kes terhadap Najib telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah, manakala pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata dan dibuat kemudian.

Najib sebelum ini turut didakwa bersama bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, atas pertuduhan menyeleweng RM6.6 bilion dana awam yang sepatutnya digunakan untuk membayar International Petroleum Investment Company (IPIC).

Namun, kedua-duanya diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).

Srimurugan berkata pihak pendakwaan masih boleh memfailkan semula pertuduhan itu apabila bersedia.

Namun, beliau menambah, dalam kebanyakan kes, perbicaraan tidak diteruskan jika saksi-saksi pendakwaan gagal dikesan atau telah meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.