RM5.90 bilion rumah tidak terjual tahun lalu

RM5.90 bilion rumah tidak terjual tahun lalu

Jumlah itu meningkat sebanyak 16.3 peratus berbanding 2014.

Datuk-Chua-Tee-Yong-,rumah

PUTRAJAYA:
Sebanyak 11,316 unit kediaman siap dibina bernilai RM5.90 bilion tidak terjual sepanjang 2015 ekoran keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 16.3 peratus berbanding 2014 iaitu atau 9,733 unit yang bernilai RM3.78 bilion.

Katanya, walaupun jumlah kediaman siap dibina kurang mendapat sambutan, namun unit-unit baru dibina telah mencatatkan peningkatan tahun lalu iaitu sebanyak 10.3 peratus kepada 188,757 unit berbanding 171,146 unit pada 2014.

“Peningkatan ini disumbang bilangan pangsapuri perkhidmatan yang lebih tinggi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Hartanah 2015 hari ini.

Tee Yong berkata, rumah berharga RM300,000 ke bawah mendominasi pasaran dengan menyumbang 68 peratus daripada jumlah pasaran harta kediaman.

Mengulas mengenai kenaikkan harga rumah yang terlalu mahal, beliau berkata, kerajaan telah memperkenalkan beberapa pendekatan bagi mengawal kenaikkan harga rumah dan hasilnya, kadar pergerakan harga rumah telah mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2015.

“Pada suku tahun keempat 2015, kadar kenaikkan harga rumah menurun sebanyak 0.8 peratus berbanding paras harga pada suku ketiga 2015.

“Kerajaan juga akan meningkatkan usaha untuk membina lebih banyak rumah mampu milik serta memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah menerusi skim Pembiayaan Rumah Pertama (mydeposit) dan BSN MyHome,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.