Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, usaha itu perlu, bagi memelihara budaya dan imej Islam di negeri itu.
“Sudah sampai masanya kerajaan negeri menyedia dan mengisytiharkan ‘garis panduan etika pelancongan’ kepada para pengusaha pelancongan, agar sejajar dengan imej negeri Darul Iman.
“Kami mengalu-alukan sebarang tindakan tegas pihak berkuasa, bagi mengekang program-program sebegini, kerana ia merosakkan imej rakyat dan negeri Terengganu yang dikenali sebagai Darul Iman,” katanya.
Khairuddin berkata demikian kepada FMT, ketika diminta mengulas cadangan mengadakan pesta ‘Full Moon Beach Party’ di Pulau Perhentian Kecil pada 19 dan 20 April ini.
Khairuddin bagaimanapun berkata, PAS menyambut baik usaha kerajaan negeri menarik pelancong ke negeri itu, sekaligus dapat meningkatkan ekonomi Terengganu.
“Kehadiran para pelancong asing ke pulau-pulau peranginan Terengganu dialu-alukan, bagi meningkatkan ekonomi domestik rakyat Terengganu, namun ia perlu disusuli dengan pemantauan, agar sebarang aktiviti tidak merosakkan imej Islam Negeri Terengganu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Kelmarin, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan terhadap penganjuran pesta itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, bagi meminta pihak berkuasa menghalang pesta tersebut diadakan.
