Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sekiranya mahkamah membenarkan perintah injuksi itu, ia akan membawa kesusahan kepada Najib.
“Dia (Dr Mahathir) dah ‘jump the gun’. Dia mendahului pihak penyiasat dan menghukum. Membekukan harta, duit seseorang juga satu hukuman kerana menyusahkan pihak yang terkena.
“Tak adil. Adakah adil kalau saya bekukan akaun sesiapa atas dasar syak?, katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Latitud8, hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir bersama bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin memfailkan permohonan injuksi di Mahkamah Tinggi bagi pembekuan aset milik Najib.
Permohonan injuksi itu difailkan peguam Haniff Khatri Abdulla, melibatkan semua aset dan akaun bank yang didaftarkan atas nama Najib.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir terhadap Najib sebelum ini juga belum mempunyai bukti
“Yang penting siasatan untuk membuktikan bahawa apa yang didakwa itu betul, tidak kira wang atau aset.
“Tapi dakwaan dia belum ada bukti lagi…baru SPRM dan polis nak siasat,” tegasnya.