Malah, makhluk itu turut dikatakan memiliki bulu yang lebat diseluruh tubuhnya.
Lantaran rasa takut yang amat sangat mereka meracau-racau selepas terlihat lintasan jelmaan yang tidak pernah diingini untuk ditemui itu.
Memetik laporan Sinar Harian Online, tiga buah sekolah di daerah Kota Bharu dilanda kes histeria melibatkan lebih 50 pelajar termasuk guru.
Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 (SMKPC 1), Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 (SMPKC 2), Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian 3.
Jarak antara sekolah-sekolah terbabit adalah antara 2 hingga 5 kilometer sahaja.
Lembaga itu dikatakan sering mengganggu pelajar sekitar jam 11 pagi selepas waktu rehat dengan kebanyakannya menemui jelmaan selepas pergi ke tandas.
Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 (SMKPC 1) yang tidak dinamakan memberitahu, dalam kejadian kelmarin, hampir enam pelajar perempuan tingkatan satu di sekolahnya menjerit selepas mendakwa ternampak lembaga hitam.
Bagaimanapun, menurut Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Pendidikan Negeri Kelantan, Che Abdullah Mohamad, serangan histeria di beberapa sekolah terbabit masih terkawal setakat ini.
“Memang kita akui ada beberapa kes terbaru melibatkan SMKPC 1, SMK Kemumin dan SMK Kubang Kerian 3, namun ia hanya melibatkan segelintir pelajar dan tidak seramai kes histeria di SMKPC 2 yang melibatkan lebih 50 orang.
“Tindakan pantas pihak sekolah termasuk pengetua mengasingkan pelajar yang terlibat dapat mengelak kejadian itu merebak kepada pelajar lain,” katanya yang dipetik daripada laporan berkenaan.
Che Abdullah berkata, kejadian itu mungkin berlaku disebabkan ada pelajar mengalami tekanan ekoran peperiksaan akan berlangsung sekitar Mei ini.
“Banyak faktor yang mendorong perlakuan terbabit di samping keadaan di rumah atau faktor sekeliling pelajar itu sendiri.
“Buat masa ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan kita harap kejadian seumpama ini tidak berulang dan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dengan baik,” katanya.
