Katanya, ekoran kelemahan dan kontroversi yang melanda skuad negara, beliau mengambil keputusan membeli FC Bari 1908 sebagai inisiatif bagi membantu atlit bola sepak Malaysia bermain di Eropah dengan adanya hubungan dengan kelab ini.
“Saya ada membaca di online mengenai debat bola sepak di Malaysia. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Dulu Malaysia pernah menjadi antara pasukan terbaik di Asia, tetapi bukan lagi sekarang. Kita pernah mengalah Jepun atau Korea.
“Skuad Malaysia masih lagi ada, tetapi tidak bekerja keras. Di Malaysia sekarang sedang berdebat bagaimana untuk menaikkan kembali skuad bola sepak negara,” jelasnya ketika sidang media pertama bersama kelab FC Bari 1908 di Itali baru-baru ini, lapor The Star.
Menurutnya yang juga seorang ahli perniagaan, bola sepak Malaysia tidak terlalu berminat dalam pembangunan peringkat remaja.
“Peluang pemain remaja Malaysia bermain di Eropah lebih terbuka sekiranya kami ada hubungan dengan kelab ini.
“Kita akan buka akademi remaja. Oleh itu, dua atau tiga pemain remaja terbaik dari Malaysia akan dipilih untuk bermain di sini.
“Ia sebagai inisiatif bagi membantu bola sepak Malaysia pada masa akan datang,” kata Dr Noordin. Turut ditanya tentang pilihannya terhadap kelab FC Bari 1908, beliau berkata ia kerana beliau percaya ke,lab yang kini berada dalam Serie B itu berpotensi untuk naik ke Serie A. “Tahun lalu saya melawat kelab bola sepak sekitar Rom untuk mencari calon kerjasama dengan bola sepak Malaysia. Akademi Lazio adalah salah satunya.
“Kemudian saya fikir, kalau kelab Rom menang Serie A, ia tidaklah menghairankan.
“Tetapi jika FC Bari menjadi juara Serie A, ia lebih membanggakan. Saya mahu akademi FC Bari memberi peluang kepada pemain muda Malaysia.
“Lima tahun bermula sekarang, saya mahu FC Bari menjadi yang terbaik di kalangan terbaik,” katanya.
Dr. Noordin turut menyampaikan kekesalan terhadap pasukan bola sepak negara masa kini yang sudah tidak lagi serupa dengan skuad negara 30 atau 40 tahun dahulu dan mahu pembeliannya ini membantu pembangunan sukan bola sepak negara.
Sementara itu, Dr.Noordin turut mendedahkan beliau terpaksa terus tinggal di kota itu selepas mengalami serangan jantung kali ketiga.
“Doktor Itali memberitahu, terdapat tiga saluran jantung saya yang tersumbat.
“Saya terus menjalani pembedahan di sini dan atas nasihat doktor saya tidak boleh menaiki kapal terbang buat sementara waktu, sehinggalah sekarang saya berada di sini,” jelasnya.
