Pendakwah terkenal itu telah mengadakan empat ceramah di Terengganu dan satu di Kuala Lumpur, selepas beliau tiba di negara ini pada 9 April lalu.
Orang ramai mula tiba di UTEM kira-kira jam 5 petang untuk menghadiri pelbagai majlis ilmu yang diadakan penganjur, sebelum Dr Zakir menyampaikan syarahannya bertajuk ‘Islam – Problems and Solutions to Humanity’ (Islam – Masalah dan Penyelesaian terhadap Kemanusiaan) kira-kira jam 8.30 malam.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, anggota Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan barisan exco kerajaan negeri.
Idris dalam ucapannya berkata, tajuk syarahan itu dipilih bagi melihat kepada cabaran yang dihadapi kemanusiaan melibatkan kepelbagaian bangsa dan agama.
“Dugaan yang dihadapi manusia merangkumi masalah kelaparan di beberapa bahagian dunia, akibat rasuah dan pengurusan sumber yang lemah.
“Di samping penyakit yang boleh membawa maut, serta peperangan akibat perselisihan ideologi politik dan agama,” katanya.
– BERNAMA
