Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS), A. Rajaretinam berkata, seeloknya Zakir perbetulkan segala kesilapan dalam agama dan pengikutnya yang berpecah mengikut aliran dan mazhab di samping tidak bersatu.
“Ini tidak, dia seberang sempadan mencari kelemahan yang dia anggap tidak betul dan saya rasa itu tidak baik,” katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan Dr Zakir untuk berdebat mengenai perbezaan agama sebagai juga tidak wajar memandangkan ia akan menyebabkan ada pihak yang menang dan kalah.
“Zakir Naik dia nak debat untuk apa, apa niat dia, supaya satu pihak yang menang, satu lagi kalah dan itu niat debat dan biasanya itulah kesudahannya.
“Bagi kamu, kamu besar, bagi aku, aku besar. Debat ini sebab saya rujuk kepada hitam dan awak rujuk kepada merah. Saya kata hitam lebih baik dan awak kata merah lebih baik,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Tambahnya lagi, adalah tidak wajar untuk Dr Zakir bercakap mengenai agama lain jika beliau tidak mengamalkan ajaran tersebut.
“Adakah saya bertauliah untuk bincang, cakap soal akidah dalam Islam. Saya tidak boleh cakap dalam Islam, saya juga tidak mempunyai pengalaman walaupun saya merujuk Al-Quran, fasih berbahasa Arab, saya rujuk hadis banyak kali, tetapi saya tidak sembahyang ikut Islam. Jadi boleh ke saya berdebat?
“Saya boleh merujuk surah, tetapi bagaimana seseorang itu berhadapan dengan tuhan, ia berbeza. Kita tidak boleh bandingkan agama sekadar untuk menentukan agama aku lebih besar.
“Jadi tidak perlu masuk campur agama dan kepercayaan orang lain walaupun orang itu fikir tidak ada tuhan. Kita kena terima perbezaan itu, dan hormati perbezaan itu,” tegasnya.
Tidak terhenti di situ, Rajaretinam turut menyatakan Dr Zakir tidak boleh dibandingkan dengan Allahyarham bekas Mursyidul Am PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
“Saya boleh bandingkan dengan dua tokoh agama Islam, satu Nik Aziz ibarat langit dengan bumi. Zakir ini langsung tidak layak, kerana dia bukan ulama, dia hanya penceramah biasa.
“Jadi kenapa nak diagungkan Zakir ini, jadi bila diagungkan dia akan menjadi taksub dan itu yang bahaya, jadi kita minta kerajaan fikir secara masak janganlah layan orang yang macam ni, yang dianggap oleh orang Wahabi dalam Islam itu sendiri,” ujarnya.
