Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah pihak cuba mencetuskan polemik yang dikaitkan dengan siri syarahan umum Dr Zakir di Malaysia.
Beliau berkata, sebenarnya mereka yang melemparkan tuduhan itulah yang cuba mengugat keharmonian kaum dan ketenteraman di negara ini.
“Pihak yang cuba timbulkan ketegangan dan keresahan masyarakat itu sepatutnya disiasat, kerana telah menyebabkan rakyat tidak tenteram.
“Oleh itu, kita minta pihak keselamatan menyiasat golongan ini, kerana mereka jelas tidak menghormati prinsip perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tegasnya, kaedah dakwah Dr Zakir adalah menggunakan hikmah dan rasional ketika berbicara.
Justeru, umat Islam dan golongan bukan Islam sepatutnya memanfaatkan kehadiran Dr Zakir ke negara ini, dengan mengambil peluang untuk mendengar ceramahnya, bagi memahami ajaran agama dan kepercayaan asas dalam agama.
Semalam, Pengarah Program Siri Syarahan Umum Dr Zakir Naik 2016, Abu Shariz berkata, syarahan umum Dr Zakir yang dijadual diadakan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Ahad ini, diteruskan dengan tajuk baru, iaitu ‘Women’s Rights In Islam’.
Manakala program syarahan ilmu Fariq Naik, anak kepada Dr Zakir yang bertajuk ‘Misconceptions About Islam’ di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Jumaat ini, juga dibenarkan dengan dua syarat, iaitu tidak menyentuh dan merendahkan agama lain serta penganjur memaklumkan program itu kepada polis.
