Polis bagaimanapun telah memperhebat pemantauan di laluan-laluan haram di sempadan negara bagi mengesan kedua-dua individu terbabit yang disyaki merancang melakukan serangan ganas di Thailand.
“Tiada bukti mereka telah masuk melalui jalan sah tetapi kami sedang memanjangkan leher (memantau) di laluan haram,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Semalam, Gabenor Surat Thani, Wongsiri Promchana memaklumkan kepada Bernama, menerusi maklumat yang diterima daripada Pejabat Imigresen Thailand di Phuket, dua lelaki berkenaan sedang menuju ke Malaysia.
Mereka disyaki merancang melakukan serangan di Thailand termasuk di destinasi pelancongan popular seperti Phuket dan Koh Samui, yang dijangka sesak dengan pengunjung sempena Festival Songkran yang akan bermula 12 April ini.
Terdahulu, Jabatan Imigresen melalui Ketua Pengarahnya Datuk Sakib Kusmi telah menyatakan tidak menerima sebarang maklumat dan laporan berkaitan kemasukan mereka.
Hujung tahun lalu, dua etnik Uighur China ditahan dan kemudian didakwa di Mahkamah Tentera Thai pada Februari tahun ini atas tuduhan terlibat dengan pengeboman sebuah kuil di Bangkok yang mengorbankan 20 mangsa dan mencederakan lebih 120 yang lain.
