Masih enggan mendedahkan siapa timbalan menteri dari Johor yang mengetuai gerakan itu, Shukur berkata, pendedahan hanya akan dibuat jika dia diheret ke mahkamah.
Katanya, dia tidak hairan apabila pemimpin UMNO Johor mempersendakan pendedahan itu kerana perbuatan itu pernah berlaku sebelum ini.
“Dulu saya pernah cakap Datuk Seri Mukhriz Mahathir bakal dibuang dari Menteri Besar Kedah, orang gelakkan dan persendakan saya dan akhirnya benda ini berlaku,” katanya kepada FMT.
Shukur, anak kepada Speaker Johor, Tan Sri Mohamad Abdul Aziz mengaku dia mendedahkan gerakan itu kerana mahu Khaled kekal Menteri Besar.
Tambahnya, beliau tidak dipengaruhi sesiapa atau dibayar untuk mencetuskan kontroversi.
“Saya sayang Menteri Besar (Mohamed Khaled), takkan saya nak sabotaj Menteri Besar saya,” jelasnya.
Shukur, dalam dakwaannya mendedahkan, seorang timbalan menteri mengepalai kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak untuk menukar menteri besar kerana Khaled didakwa gagal mengawal UMNO Johor.
Sesetengah pemimpin UMNO Johor bagaimanapun bangkit menafikan dakwaan Shukur itu, dengan berkata mustahil seorang ahli Parlimen boleh menjadi menteri besar.
Mereka juga menganggap Shukur sengaja mencari publisiti murahan, dan dakwaan Shukur itu cubaan untuk melaga-lagakan UMNO Johor.
“Orang yang mempersoalkan dan tuduh saya ada agenda, sebaliknya orang itu sebenarnya yang nak jatuhkan Menteri Besar,” jawab Shukur.
Sementara itu, mengulas kebingungan ayahnya susulan pendedahan itu, Shukur berkata tindakannya diambil tanpa pengetahuan bapanya.
“Saya memang anak antara yang ‘nakal’ dan boleh dikatakan selalu menentang. Saya tak nafi pendedahan saya membuatkan ayah terperanjat, tapi tidak semestinya beliau lama dalam politik, beliau tahu serba-serbi isu yang berlaku,” katanya.
UMNO dikatakan memberi ‘lebih tumpuan’ kepada negeri Johor selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan digantung sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Johor juga menyaksikan tertubuhnya ketua UMNO cawangan anti Najib yang yang dikenali Gabungan Ketua Cabang Malaysia (GKCM).